Institut Maahad Tahfiz Al-Azim(IMTAZ) merupakan sebuah pusat ilmu dan tarbiyyah yang berlandaskan kepada dua sumber iaitu Al-Quran dan As-Sunnah bertepatan dengan sabda nabi Muhammad s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Apabila kamu berpegang kepada keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan Sunnahku.”
Juga merupakan suatu usaha awal dalam mentarbiyyah anak-anak sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Sebagaimana acuannya begitulah bentuknya kekal sebagaimana sabda nabi s.a.w. yang bermaksud, “Setiap bayi yang dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu-bapanyalah yang menentukan bayi itu menjadi seorang Yahudi atau Nasrani.” Selain itu ia juga sebagai menyahut seruan Ilahi berdasarkan kepada firman-Nya dalamsurah Al-Alaq ayat satu yang bermaksud, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan segala kejadian.”
Alhamdulilah sekali lagi kami berasa bersyukur ke hadrat Ilahi yang dengan kudrah-Nya, kertas projek ini telah berjaya kami susun demi menubuhkan sebuah pusat pendidikan khusus untuk menghafal Al-Quran. Kertas projek ini kami susun dengan maksud untuk menunjukkan kesungguhan dan komitmen kami dalam usaha untuk menubuhkan sebuah Institut Maahad Tahfiz Al-Quran. Dalam kertas projek ini ada menyatakan tentang objektif penubuhan, misi dan visi, sistem pembelajaran, peraturan dan aktiviti IMTAZ serta sistem peperiksaannya.
Dengan terhasilnya kertas projek ini mudah-mudahan kami dapat merealisasikan segala perkara yang telah dirancangkan dengan teliti dan mendalam. Semoga Allah memberikan kami kekuatan yang luarbiasa demi menjayakan dan mengekalkan segala perancangan yang akan kami jalankan.
Kepada Allahlah kami memohon dan berharap limpah Taufik dan Hidayah-Nya agar usaha kami ini sentiasa berada dalam keredhaan-Nya.